CAHAYA TINTA

Khamis, 12 Januari 2012

Karangan Laporan

Karangan Jenis Laporan.
·         Karangan jenis ini menghendaki anda melaporkan sesuatu peristiwa 
    yang didengar atau dilihat.
·         Hendaklah disampaikan dengan tepat dan mudah difahami.
·         Dalam membuat karangan berbentuk laporan , kamu hendaklah
     menggunakan butir-butir yang munasabah atau lojik.
·         Kamu perlu memastikan jenis laporan, sama ada laporan aktiviti 
    persatuan,perayaan, sambutan, perasmian, atau lawatan ke 
    sesuatu tempat.
·         Untuk laporan aktiviti persatuan sertakan nama ahli jawatankuasa, 
     sejarah penubuhan, jumlah ahli, dan aktiviti sepanjang tahun. 
     Pelapor mesti berjawatan setiausaha.
·         Untuk laporan lawatan pula , tulis apa yang dilihat, dirasa, dan 
   dialami serta kesan lawatan terhadap pembelajaran.
·         Penulisan mengikut perkembangan peristiwa, yang dahulu didahulukan.
·         Gunakan bahasa yang ringkas dan padat



Format penulisan karangan jenis laporan


Tajuk Laporan     :   Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata 
                              dan digaris atau ditulis dengan huruf besar semuanya.
                              Tajuk hendaklah ditulis ditengah-tengah. Boleh ditulis 
                              dalam dua baris jika tajuk terlalu panjang.

Isi Laporan   :        Bermula dengan pendahuluan dan diakhiri dengan penutup.

Pengakuan pelapor:         Ditulis di sebelah kiri selepas perenggan terakhir.

Tarikh          :  Ditulis di sebelah kanan laporan,setentang dengan 
                      pengakuan pelapor.

Tandatangan pelapor :   Ditulis di sebelah kiri bahagian bawah 
                                            selepas pengakuan pelapor.

Nama Pelapor   :     Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan 
                             selepas tandatangan.

Jawatan Pelapor   : Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan 
                             dibubuh tanda koma  di  hujungnya .

Seterusnya            ditulis nama persatuan yang diwakili


Contoh Karangan Laporan.

Tajuk : Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda. Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut .Sediakan laporan itu selengkapnya.

Rangka:

1.Pendahuluan:
penubuhan persatuan-anggota persatuan-tujuan penubuhan

2.Isi
a)       kegiatan-peraduan menulis esei tentang sains-pemenang
b)       ceramah -pensyarah dari USM
c)       gotong-royong membersihkan kawasan sekolah
d)       lawatan ke Taman Ular

3.Penutup
-berterima kasih kepada guru penasihat.


KARANGAN

Laporan Kegiatan Persatuan Matematik Dan Sains Sekolah Kebangsaan Darau.
          
       Persatuan Matematik dan Sains dibentuk pada tahun 1982.Anggota-anggota persatuan ini berjumlah 60 orang. Mereka terdiri  daripada pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam. Persatuan ini dibentuk untuk meningkatkan taraf pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu ,melalui persatuan ini,pelajar dapat bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran masing-masing.
         
          Persatuan ini telah menjalankan beberapa kegiatan sepanjang tahun 1995.Kegiatan-kegiatan tersebut berbentuk akademik dan bukan akademik. Kegiatan pertama yang kami jalankan ialah”Peraduan Menulis Esei Tentang Sains”.Sambutan yang diberikan terhadap peraduan ini adalah sangat menggalakkan. Peraduan ini dimenangi oleh Suriani Mat Zin,pelajar Tahun Enam Mawar.
         
           Kami juga menganjurkan ceramah tentang sains dan matematik .Ceramah ini disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Malaysia. Selain itu ,kami turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Kami memperindahkan kawasan taman pra dengan menanam berbagai jenis bunga dan menamakan  pohon-pohon tersebut mengikut istilah sains.
         
          Pada cuti penggal kedua persekolahan,kami mengadakan lawatan ke Taman Ular di Batu Pahat. Sebagai hasil lawatan ini,kami banyak memperolehi pengetahuan tentang penyelidikan yang dijalankan oleh pihak Institut  Penyelidikan Perubatan Malaysia di situ.
        
            Pada keseluruhannya,kami berpuas hati dengan kegiatan-kegiatan yang kami jalankan .Kami juga berterima kasih  kepada guru penasihat,Cikgu  Rosmini Jaafar yang banyak memberikan bimbingan kepada kami.




Disediakan oleh,                                                   25 Januari 1996
      Azmi
_______________
(AZMI SULAIMAN)
Setiausaha Persatuan Matematik dan Sains
Sekolah Kebangsaan Darau, Jerteh,Terengganu



Latihan.

Laporan di bawah ini disusun secara tidak teratur dan mungkin juga mempunyai kesalahan dari segi formatnya.  Susun semula menjadi satu laporan yang lengkap dan betulkan kesalahan-kesalahan yang ada.



laporan lawatan sambil belajar persatuan sejarah
sekolah menengah kebangsaan datuk menteri ke tempat bersejarah di kota tinggi


          Setelah sampai ke destinasi yang dituju, tempat pertama yang kami lawati adalah sebuah makam bersejarah.  Cikgu Abdul Muhaimin memberi penerangan tentang sebuah makam bersejarah yang masih dijaga dengan rapi.  Makam itu ialah makam Sultan Mahmud Syah II (1685 -1699), iaitu sultan kesepuluh dan terakhir daripada keturunan Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Syah I ( 1477 – 1488).

          Pada 22 Februari 2009, seramai 40 orang ahli Persatuan Sejarah, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri, Air Hitam, Batu Pahat telah mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat bersejarah di Kota Tinggi.

          Setelah kira-kira dua jam mendapatkan fakta, menemu ramah penduduk sekitar, dan bergambar kenangan, kami bertolak ke kawasan air terjun yang tidak jauh dari situ untuk menikmati makan tengah hari.  Walaupun kami tahu berenang, tetapi kami tidak dibenarkan mandi atas alasan keselamatan.  Namun begitu kami amat mengagumi akan keindahan air terjun Kota Tinggi itu.

          Cikgu Abdul Muhaimin menunjukkan makam Sultan Mahmud Syah II dan pembesar-pembesarnya.  Sultan Mahmud Syah II juga dikenali dengan nama Marhum Mangkat Dijulang.  Baginda mangkat dibunuh oleh seorang pembesar bernama Megat Seri Rama kerana tidak berpuas hati dengan hukuman sultan yang menyula isterinya hanya kerana seulas nangka.

          Pada pukul 3.15 petang, kami berangkat pulang.  Kami tiba di pekarangan sekolah pada jam 5.05 petang.  Kami semua amat gembira kerana lawatan ini amat bermakna dan banyak faedah yang boleh dikongsi bersama.

          Lawatan yang diketuai oleh Cikgu Abdul Muhaimin Mukhtar bertolak dengan bas yang disewa khas pada jam 9.00 pagi.  Sebelum berangkat, Cikgu Abdul Muhaimin mengingatkan pelajar agar menjaga disiplin.  Sepanjang perjalan ke tempat yang dituju kami begitu terpersona akan keindahan pemandangannya. Kira-kira dua jam dalam perjalanan, kami pun sampai di tempat yang dituju.


                                                         Laporan disediakan oleh,

                                                                                              Kamariah
                                                        (Kamariah Kamaruddin)
                                                        Setiausaha,
                                                        Persatuan Sejarah,
                                                        Sekolah Menengah Kebangsaan
28 Februari 2009                                  Datuk Menteri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan