CAHAYA TINTA

Khamis, 21 Jun 2012

LATIHAN PENULISAN

Tulis karangan anda yang panjangnya lebih daripada 180 patah perkataan.

1.  Kejohanan olahraga tahunan sekolah anda baru sahaj berakhir. Kejohanan tersebut telah berlangsung secara gilang-gemilang dan meriah sekali.  Selaku setiausaha Kelab Sukan Sekolah, anda diminta untuk menyiapkan laporan kejohanan olahraga tersebut.
Tulis laporan anda selengkapnya.

2.  Semangat kejiranan semakin dilupakan.
Bincangkan cara-cara untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

3.  Anda tidak berpuas hati dengan perkhidmatan kantin di sekolah anda. Anda bercadang untuk melaporkan kelemahan-kelemahan perkhidmatan kantin sekolah anda kepada pengetua sekolah dan mencadangkan langkah-langkah untuk membaiki kelemahan tersebut.
Tulis surat tersebut selengkapnya.

4.  Anda sedang berbual-bual dengan rakan anda tentang minat membaca yang begitu rendah di negara kita. Dalam perbulan itu, anda dan rakan anda ada mennyatakan langkah-langkah untuk menarik minat masyarakat agar membudayakan tabiat membaca.
Tulis perbualan itu selengkapnya.

5.  Kemalangan jalan raya merupakan pembunuh utama di negara kita.
Bincangkan punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya.

6.  Setiap murid diwajibkan menyertai kegiatan kokurikulum.Terdapat banyak faedah dengan menyertai kegiatan kokurikulum.
Jelaskan faedah-faedah menyertai kegiatan kokurikulum.

Selasa, 19 Jun 2012

KATA HUBUNG PANCANGAN KETERANGAN




1.       Kata hubung pancangan keterangan ialah kata yang berfungsi untuk menghubungkan klausa utama dengan  klausa yang menjadi keterangan .
2.       Antara contoh kata hubung pancangan keterangan ialah : kerana, agar, meskipun, sekiranya, semoga, supaya, kalau, andaikata, kendatipun, hingga, jika, jikalau, semasa, sementara, setelah, sewaktu, sekiranya, ketika, tatkala, walaupun, dan sesungguhnya.

Contoh ayat:
·         Berusahalah sekuat mungkin sementara badan masih sihat.
·         Saya berkawan dengannya semenjak kecil.

Contoh ayat:

Persembahan itu akan dibatalkan sekiranya sambutannya dingin.
·         Persembahan itu akan dibatalkan.
·         Sambutan persembahan itu dingin.

Apabila hujan turun dengan lebat, kawasan rendah itu akan banjir.
·         Hujan turun dengan lebat.
·         Kawasan rendah itu akan banjir.

3.       Ayat kecil yang menjadi keterangan kepada ayat utama boleh digolongkan kepada:
a.       Keterangan waktu  :  sesudah, setelah, sejak, sehabis, ketika, tatkala, sehingga, sewaktu, sampai, selama,  sementara dan sebelum.

b.      Keterangan  bersyarat  :  jika, jikalau, kalau, sekiranya, andaikata dan manakala.

c.       Keterangan  akibat  :  hingga dan sehingga

d.      Keterangan  sebab  :  sebab, oleh sebab, lantaran,  dan kerana

e.      Keterangan  perbandingan  :  seperti , bagai, macam, ibarat, laksana, bak, umpama, seakan-akan, seolah-olah,  seumpama dan sebagaimana.

f.        Keterangan harapan  :  supaya, agar, semoga, moga-moga, kalau-kalau

g.      Keterangan tujuan  :  untuk , demi , bagi

h.      Keterangan pertentangan  :  walaupun, bagaimanapun, biarpun, sungguhpun, namun, meskipun, sekalipun dan sedangkan

i.        Keterangan  cara  :  dengan

Latihan

Isi tempat kosong di bawah ini dengan  kata hubung pancangan komplemen dan kata hubung pancangan keterangan yang sesuai.

demi                sejak                sewaktu           oleh sebab                   supaya             kerana

walaupun                    bahawa                       untuk               dengan                       

Cerpen Kasut Kelopak Jantung mengisahkan Cikgu Harun yang menerima bungkusan hadiah setiap tahun, terutamanya pada Hari Guru teringat semula peristiwa yang berlaku tiga puluh tahun dahulu _____________ beliau bertugas sebagai guru di kawasan pedalaman. Cikgu Harun sememangnya seorang guru yang tegas dalam soal keceriaan pelajar dan kelas. Beliau memarahi Ahmad yang tidak memakai kasut sekolah __________________  sudah tiga minggu sesi pesekolahan bermula. Di padang sekolah, Ahmad sekali lagi dimarahi Cikgu Harun _________________ tidak membawa pakaian sukan. _________________ itu, Cikgu Harun mendenda Ahmad dengan menyuruhnya mancari tali rafia untuk mengikat kelopak jantung pisang pada bahagian kakinya untuk dijadikan “kasut”. Ahmad merupakan murid yang patuh akan arahan gurunya terus mengikat kelopak jantung pisang. Dia berasa malu atas denda yang dikenakan oleh Cikgu Harun yang sebenarnya mahu Ahmad membeli kasut sekolah _________ keselamatan kakinya. Selepas hari persekolahan tamat, Ahmad berlari ke rumah ______________ kasut kelopak jantungnya tidak dikesan oleh kawan-kawan. ___________ hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah. Cikgu Harun hairan akan perkara tersebut dan mengetahui ___________  Ahmad ingin berhenti sekolah. Cikgu Harun yang berasa kesal atas dendanya terhadap Ahmad pula mengambil keputusan ______________ pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui perkara yang sebenar. Akhirnya, dia mengetahui bahawa Ahmad tinggal bersama ibunya yang uzur dan tua tidak mampu membeli kasut sekolah dan terpaksa mengambil upah memetik cili di kebun orang lain. Cikgu Harun yang tersentuh akan kedaifan Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah. Ahmad yang berterima kasih atas pemberian Cikgu Harun telah belajar __________ gigih dan menjadi seorang pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka. Sejak itu, Ahmad menghadiahkan kasut kepada Cikgu Harun sebagai membalas jasa gurunya, Cikgu Harun.