CAHAYA TINTA

Khamis, 26 Julai 2012

PENULISAN PERENGGAN ISI

Setiap perenggan isi harus mengandungi satu isi sahaja.  Komponen bagi setiap perenggan isi adalah seperti berikut:

  • Idea Utama
  • Huraian idea utama
  • Contoh / bukti
  • Rumusan/Komen / Penegasan

Contoh soalan :  Peranan ibu bapa dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.

Idea Utama  :

     Salah satu tanggungjawab yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam membendung masalah sosial adalah memberikan pendidikan agama kepada para remaja.

Huraian Idea Utama :

     Pendidikan agama harus diberikann oleh ibu bapa sebelum seseorang anak itu meningkat remaja, bak kata pepatah Melayu melentur buluh biarlah daripada rebungnya.  Pendidikan agama sangat penting diberikan kepada anak-anak bagi membolehkan mereka membezakan yang mana intan dan yang mana kaca, seterusnya mengelakkan mmereka daripada mengalami keruntuhan moral.  Impaknya, anak-anak ini akan membesar dengan satu kawalan sosial yang mengarahkan tingkah laku yang positif.

Contoh / Bukti

     Antara pendekatan yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa ialah mengajak anak-anak mereka melakukan ibadat yang diwajibkan oleh agama masing-masing.  Seterusnya, ibu bapa harus menunjukkan contoh atau teladan yang baik dengan mempraktikkan segala ajaran agama dengan sempurna kerana sikap murni ini akan menjadi ikatan anak-anak, seperti kata pepatah Melayu bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Rumusan / Komen

      Jadi, jelaslah kepada kita bahawa pendidikan agama yang sempurna daripada ibu bapa kepada anak-anak merupakan benteng utama yang dapat menghindari kebejatan sosial dalam kalangan ramaja pada hari ini.

  • Kemudian gabungkan semuanya menjadi satu perenggan isi.