CAHAYA TINTA

Isnin, 8 Oktober 2012

PENULISAN PERENGGAN PENDAHULUAN

     Perenggan pendahuluan harus mengandugi frasa-frasa yang menjadi isi utama sesuatu karangan.  Perkara-perkara yang perlu ada dalam perenggan tersebut adalah berikut:                      

  • isu-isu semasa tajuk
  • keseriusan isu (masalah) itu
  • persoalan yang hendak ditimbulkan ( yang akan dibincangkan dalam karangan)

Contoh :  Penderaan Kanak-kanak  :  Faktor dan langkah

     Dewasa ini, masalah penderaan kanak-kanak semakin kronik di Malaysia. Saban hari, kita terbaca di akhbar atau mendengar berita daripada media elektronik seperti radio dan televisyen tentang isu ini.  Misalnya,  kematian dua orang kanak-kanak yang bernama B. Balasundram dan Nor Fitri akibat didera cukup menyayatkan perasaan kita.  Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mewujudkan masalah ini? Adakah kita akan membiarkan gejala ini berterusan dan menghakiskan nilai-nilai kemanusian dalam masyarakat? Tepuk dada tanyalah selera.