CAHAYA TINTA

Selasa, 5 Julai 2011

Bengkel PMR 2011

Tips bagi menjawab soalan bahagian D dibincangkan dalam bengkel PMR 2011. Diharapkan semua maklumat dan tips yang diberi dapat membantu murid-murid menjawab soalan bahagian ini dengan baik seterusnya memperoleh markah penuh.



BAHAGIAN D
NOVEL

Pengenalan
- Bahagian D meminta calon menjawab soalan yang berkaitan dengan novel wajib bagi setiap  
  zon.
- Masa yang dicadangkan untuk menjawab soalan D ialah 10 minit.
- Hanya satu soalan novel yang dikemukakan.
- Setiap calon wajib menjawab soalan tersebut dan tiada pilihan soalan lain.
- Calon mesti mengkaji tiga buah novel, sebuah dari tingkatan satu, sebuah dari tingkatan dua 
   dan sebuah dari  tingkatan tiga.
- Markah maksimum ialah 10 markah

Teknik Menjawab
- Baca soalan sekurang-kurangnya dua kali untuk memahami kehendak soalan.
- Kemudian, rangka isi jawapan berdasarkan kehendak soalan.
- Jawapan mesti ditulis dalam bentuk perenggan.
- Jawapan dalam bentuk isi-isi penting atau nota ringkas tidak dibenarkan.
- Jawapan mesti ditulis dalam ayat yang lengkap.
- Setiap jawapan yang diberi mesti mengandungi sekurang-kurangnya tiga isi.
- Setiap isi perlu dihuraikan dengan
a. Pernyataan/ Fakta
b. Huraian, dan
c. Contoh

- Antara aspek yang disoal adalah dari aspek-aspek sasteranya seperti sinopsis, tema,
   persoalan, perwatakan, plot, latar, gaya bahasa, nilai, dan pengajaran.
- Selain itu, pelajar juga mesti mengelakkan daripada melakukan banyak kesalahan dari
   aspek tatabahasa dan ejaan, kerana terdapat markah untuk bahasa dalam soalan ini.
- Calon boleh menulis sebanyak mungkin isi kerana isi yang salah tidak akan 
   ditolak  markah,   manakala isi yang betul akan diberikan markah



Soalan:  Teknik Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. 
Huraikan teknik plot berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
                                 
Jawapan
          Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Dalam novel ini, terdapat beberapa teknik penceritaan yang penting. Teknik penceritaan pertama ialah dialog. Pengarang banyak menyelitkan perbualan antara Nazar dengan ayahnya, Pak Sahar. Buktinya, “Ayah ada hal nak cakap dengan kamu ,Zar.” “Hal apa, ayah? Hal sekolah?”
         
          Teknik plot kedua ialah monolog. Monolog ialah teknik bercakap sendirian. Buktinya, Nazar membisikkan kepada dirinya bahawa emak tidak mengalami sakit jiwa seperti yang dianggap oleh kawan-kawannya.
         
          Teknik ketiga ialah teknik monolog dalaman. Monolog dalaman ialah kata-kata yang hanya terbit dalam hati seseorang watak. Buktinya, hati Nazar berbisik apabila mendapati ibunya tiada di rumah dan hatinya tertanya-tanya ke mana emaknya pergi.
         
          Teknik keempat ialah imbas kembali. Imbas kembali bermaksud pengarang memasukkan unsur ingat semula kejadian atau peristiwa yang pernah berlaku. Contohnya, apabila berjauhan daripada ibunya, Nazar teringat akan ibunya yang pandai menyanyi.
         
          Teknik seterusnya ialah teknik imbas muka. Teknik ini juga dikenali sebagai ramalan pengarang dalam sesebuah penceritaan. Biasanya pengarang memasukkan perkataan seperti “akan” dalam petikan cerita. Buktinya, Nazar memberitahu ayahnya bahawa dia akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR. Dia mungkin akan mendapat sepuluh atau lima belas unit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan